Friday, June 19, 2015

Cerita kita

Jujurnya, aku tak tahu di mana harus aku meluahkan rasa. Beban dalam dada tersangatlah berat untuk aku tanggung.

Aku tau dia akan membenci aku seumur hidup hanya disebabkan perkara kecil ini sahaja. Biarlah. Selayaknya memang hidup aku ini untuk dibenci.

Boo sayang,
Berkali sudah aku menolak perkenalan kamu sebab aku tak suka orang luar masuk ke dalam dunia gelap aku. Aku benci orang luar ambil tahu cerita gelap aku.

Tapi entah mengapa dengan kamu aku berlembut hati. Aku benarkan kamu masuk ke dalam dunia aku yang tidak berwarna.

Berkali aku bilang hidup aku statik cuma - seperti robot yang terprogram - cuma menjalani rutin harian, seperti tidak berperasaan.

Tapi lama kelamaan, aku sendiri jatuh. Aku mula teringatkan kamu. Aku mula memasang angan aku sendiri. Aku mula rasa dunia aku dapat sedikit cahaya, dapat sedikit warna.

Wallahi, aku sudah terlalu lama butakan mata dari dunia luar. Topeng aku terlalu tebal sejak masuk ke alam belajar balik. Aku terlalu hipokrit, semata untuk menjaga hati orang lain. Biarlah hati sendiri terobek, janji hati orang tu dijaga kemas rapi.

5 tahun, dah masuk tahun ke 6 pun sebenarnya hati aku lompong tak terisi. Kamu datang, tiba-tiba aku mahu kamu yang mengisi.

Hei, aku tau tahapnya di mana. Berkali aku menolak atas alasan paras umurnya tidak sama.

Dan berkali itu lah kamu meyakinkan aku - " Ada apa dengan angka "

Berkali kamu kata - " Tak kisah apa yang jadi nanti. Yang penting masa sekarang kita nikmati. Hargai selagi ada "

Aku mula mahukan kamu menyeri hidup aku. Aku tahu kita takkan ke mana, lantaran bedanya umur, bedanya hidup tetapi aku mahukan kebahagiaan tu sekali lagi. Maka izinkan aku untuk mencintai kamu sepenuh hati dengan hati yang secebis ini.

Kenapa sepenuh hati? Sebab aku tau selepas ini tiada lagi hati untuk diberikan kepada sesiapa. Aku fikir mahu simpan secebis ini untuk bekalan sampai mati.

Nyata aku tewas dengan kamu. Aku berkali menolak tetapi hati aku sendiri terpaut dengan kamu. Degil.

Aku sudah lama bersedia untuk hidup tak bernyawa sampai bila-bila. Disebabkan itu aku cuba mencari bahagia dengan kamu. Sebab aku mahu kenangan itu disimpan sampai bila-bila. Sampai kamu tiada dalam hidup aku nanti.

Kenapa aku kata begitu? Bukan bermaksud aku mahu kamu mati sayang. Tidak. Aku tau satu hari nanti kamu akan ketemu yang lebih baik daripada aku dan saat itu, aku akan melepaskan kamu dengan redha sebab itu perjanjiannya.

Sebab tu aku selalu berkata - " Kalau ada yang lain, bagitau. Sayang akan perlahan-lahan undur diri "

Aku tau aku bakal sakit hati kemudian hari tetapi tidak mengapa. Aku yang degil, maka rasakan natijahnya.

Saat aku meluahkan perasaan aku, saat itu lah aku sudah memasang anganan. Aku mahu buat sehabis baik kali ini untuk kamu. Kamu yang akan dapat terpaling baik lantaran aku cuba belajar dari kesilapan yang lepas.

Jujur, aku bahagia dengan kamu. Bergurau senda tidak mahu menghubungi selama 12 jam - 24 jam, dengan perangai manja kamu.

Ah sayang. Segalanya itu bagai terbayang depan mata.

Hidup aku memang hitam. Gelap. Kamu lelaki kedua yang tahu perihal gelap aku macam mana - sesuatu yang orang lain tidak tahu pun sebenarnya sebab aku menyorokkan daripada umum. Aku jujur dengan kamu sebab aku mahu jujur. Itu saja.

Aku memang menjauhkan diri daripada orang sebab aku takut sendiri. Aku tak sewenang-wenangnya buka diri aku untuk paparan khalayak. Hanya aku saja yang tahu betapa gelapnya aku.

Kamu tahu perihal gelap aku bukan? Gelap yang membuatkan aku tidak boleh tidur lena bertahun lamanya,malah sampai ke saat aku menulis ini.

Kasihan dengan kamu sayang. Mesti kamu takut dengan aku bukan?

Sebelum kamu hadir dalam hidup aku,tahukah kamu bahawa aku kurang menikmati tidur pun sebenarnya. Aku takut hendak tidur lantaran mimpi-mimpi ngeri yang menghantui. Aku boleh bertahan 2 - 3 hari tanpa tidur sepenuhnya. Tidur itu menakutkan.

Aku bergantung dengan pil tidur macam dadah. Hidup aku tak terurus sangat pun sebenarnya.

Aku takkan lupa macam mana damainya rasa bila kamu memeluk aku, saat aku tersentak dari mimpi ngeri tu. Aku takkan lupa tu.

Aku takkan lupa betapa damainya aku rasa ketika aku memandang kamu, ketika aku mengusap kepala kamu, ketika aku kucup ubun kamu, ketika aku pegang erat tangan kamu, ketika aku peluk kamu semasa mahu lena.

Aku tak lupa perasaan tu.

Jujur, lillahi, aku terlalu bahagia dengan kamu.

Mungkin sebab aku terlalu suka pada kamu,maka segala perangai manja aku keluar. Hei, aku keras depan orang sebenarnya. Tapi dengan kamu, aku jadi terlalu manja. Mungkin aku mahu dimanjakan.

Tak hairan lah kalau aku cengeng dengan kamu. Menangis merindu. Kelakar tapi sungguh aku rindu dengan kamu.

Berkali kamu marah, mungkin sebab kamu fed up dengan kecengengan aku. Mungkin itu titik tolak kebencian kamu pada aku. Rimas benar dengan aku mungkin.

Bila kamu melalui pembedahan, aku rasa jantung aku mahu pecah kerana terlalu merisaukan. Aku tahu kamu benci diganggu ketika kamu sakit tetapi sayang, aku terlalu risaukan kamu. Terlalu.

Aku dibentak-bentak, dimarah pun aku masih lagi teguh berdiri. Kerana terlalu sayang.

Aku sampai menangis dengan teman baik aku - bercerita tentang kamu. Orang yang sama yang marahkan aku bila aku kata aku suka pada kamu. Dia kata kamu cuma akan permainkan hati aku, tetapi aku berkali menyanggah. Sebab aku mahukan bahagia aku sendiri - biarpun seketika.

Aku terlalu risaukan kamu. Mungkin itu yang menjengkelkan kamu sebab aku seolah-olah memaksa kamu, merimaskan kamu.

Aku menangis bercerita tentang kamu. Aku risaukan kamu. Tetapi teman aku kata mungkin itu perubahan psikologi orang sakit. Mungkin benar katanya sebab abah dulu pun jadi pemarah bila sakit.

Makanya segalanya aku telan. Dibentak macam mana, kecil hati macam mana, aku cuba bertahan. Aku mula giat menulis sebab aku cuba cari platform untuk meluahkan rindu.

Aku ingat kamu hargainya, paling tidak kamu akan berkata - " Sayang, Boo tak tahu sayang rasa macam tu. Boo sayang pada sayang sangat "

Mereka sesuatu yang tak mungkin terjadi. Haha.

Episod balah makin kerap. Aku mula dapat rasa kamu mula berasa rimas dengan aku. Tetapi kerana terlalu sayang, aku ketepikan rasa tu. Aku cuba berkelakuan seperti biasa.

Makin hari makin jelas. Aku cuba memberi ruang, biar kamu bertenang. Aku tak mahu mencari balah.

Tiba-tiba, ini yang terjadi.

" Kita jadi kawan je "

Tak semena. Terduduk aku dibuatnya.

Aku mahu letakkan seluruh kesalahan ke atas bahu kamu.

Ini balasan kamu terhadap aku? Orang yang terlalu sayang kamu nie?

Dan pengakuan demi pengakuan berterabur terluah. Dengan kamu tak boleh lupakan bekas kamu, dengan ada perempuan lain yang berharap dengan kamu.

Ya, aku memang terlalu mencinta. Tetapi ada aku minta kamu kahwini aku? Ada aku minta kamu bertanggungjawab terhadap aku? Tidak bukan sayang?

Aku jadi terlalu patah hati. Mungkin sebab aku terlalu menyayangi.

Aku tahu aku terlalu sayangkan kamu sehingga kamu rasa lemas, rasa terkongkong.

Aku berharap kamu menerangkan segala, biar aku boleh perbetul semula sebelum ini keputusannya. Aku mahu kamu semula.

Tetapi kerana dek rimas dengan aku, kamu menolak mentah. Membentak lagi.

Makanya, apa kamu harapkan daripada aku? Ketawa? Suka?

Kamu senang sahaja - petik jari - segalanya berubah begitu sahaja. Dari status aweq ke kawan.

Aku? Sedari mula aku suka, mana mungkin sesenang itu.

Tiba-tiba dunia aku yang ceria,gelap kembali. Terhumban di sini. Aku mula gelong tak tahu mahu buat apa.

Aku mula menangis tak berhenti. Mujur sekarang aku berulang alik ke hospital, makanya aku terpaksa memakai topeng di muka - tak boleh ditunjuk sedihnya pada sesiapa.

Kalau tidak, aku akan duduk sahaja dalam gelap, dan berterusan menyalahkan diri. Berbulan lamanya.

Aku terlalu sayang dengan kamu. Terlalu banyak rencana untuk kamu sebelum perlahan aku mengundur diri. Dan aku rasa aku akan teruskan rencana itu sampai akhir nanti.

Semalam, aku bertembung dengan kemalangan. Aku boleh ketawa macam orang gila masa dicuci luka. Sebab aku rasa puas sendiri terluka. Biar sakit tu ada.

Biar kamu kata aku gila. Memang. Aku tak boleh fikir rasional pun ketika ini.

Aku msg kamu seperti biasa, tetapi kamu senyap sahaja. Ah... Malas sudah mahu melayan mungkin.

Aku yang terjeruk sendiri.

Entah lah sayang. Sebab tu dulu berkali aku kata, aku tak sempurna, banyak cacat cela.

Dan ketaksempurnaan aku itu lah yang melukakan kamu sekarang.

Kamu kata kamu tak mahu aku terlalu sayang, nanti kamu rasa bersalah, terbeban.

Sayang, aku tau perasaan aku. Tetapi tidak lah segala itu mahu menjadi beban untuk kamu.

Maaf lah. Aku terlalu banyak melukakan.
Maaf lah. Aku terlalu banyak ketaksempurnaan.
Maaf lah. Aku terlalu banyak menyakitkan.

Kelakar. Aku cuba berpatah balik dengan ayat - " Tak nak " - sama seperti kita gaduhkan di hostel Ipoh dulu. Aku ingat boleh dipujuk, tetapi mungkin sebab kamu sudah terlalu membenci, hati kamu keras tak terperi.

Maaf lah :(

Aku tak suka kegelapan ini. Sebab makin lama aku makin tertarik masuk ke dalam. Tapi selayaknya, tempat aku memang di sini.

Jangan terkejut melihat aku seperti patung sampai akhir nanti sebab aku tak punya hati dah untuk diberikan kepada sesiapa lagi. Biar aku berkahwin sekalipun, ah, malang benar lelaki itu rasanya. Haha. Kasihan.

Usah rasa bersalah, sebab aku yang jadi penyebab segalanya ini. Maka, aku kena tanggung sendiri.

Kamu akan jadi kesayangan aku sampai bila-bila.

Terima kasih untuk segala indah yang tercipta.
Terima kasih untuk kasih sayang yang ada.
Terima kasih kerana bertahan dengan aku yang gila.
Terima kasih kerana menjaga hati aku semata.

Terima kasih kesayangan.